Kesenian Islam adalah kesinambungan daripada kesenian pada zaman silam yang telah berkembang dan dicorakkan oleh konsep tauhid yang tinggi kepada Allah s.w.t. kesenian islam memiliki khazanah sejarahnya yang tersendiri dan unik. Kesenian Islam terus berkembang di dalam bentuk dan falsafahnya yang berorientasikan sumber Islam yang menitikberatkan kesejajaran dengan tuntutan tauhid dan syarak.
Dalam jiwa, perasaan, nurani, dan keinginan manusia tertanamnya rasa sukakan keindahan dan keindahan itu adalah seni. Sebenarnya, kesedaran mengenai keindahan adalah satu faktor yang amat penting dalam Islam. Antara faktor yang penting dalam seni ialah hakikat, ketulenan/kesucian, kejujuran dan semua ini terjalin dalam jiwa orang-orang Islam. Seni menjadi bahan perantaraan yang menghubungkan satu jiwa pencipta dengan satu jiwa lain, iaitu pengamat. Seni adalah sesuatu yang bersifat abstrak, dapat dipandang, didengar dan disentuh oleh jiwa tetapi tidak dapat dinyatakan melalui kata-kata. Sukar untuk mentakrifkan seni secara tepat sesukar untuk menerangkan konsep keindahan dan kesenangan itu sendiri. Al-Farabi menjelaskan bahawa seni sebagai ciptaan yang berbentuk keindahan. Al-Ghazali pula menjelaskan seni dengan maksud kerja yang berkaitan dengan rasa jiwa manusia yang sesuai dengan fitrahnya.
Menurut perspektif Islam, daya kreatif seni adalah dorongan atau desakan yang diberikan oleh Allah yang perlu digunakan sebagai bantuan untuk ‘memeriahkan’ kebesaran Allah. Berseni haruslah bermatlamatkan kepada perkara-perkara makruf (kebaikan), halal, dan berakhlak.
Jiwa seni mestilah ditundukkan kepada fitrah asal kejadian manusia kerana kebebasan jiwa dalam membentuk seni adalah menurut kesucian fitrahnya yang dikurniakan Allah s.w.t. Fungsi seni lebih kurang sama dengan akal supaya manusia menyedari perkaitan antara alam, ketuhanan dan rohani atau dengan alam fizikal. Lantas ia menyedari keagungan Tuhan dan keunikan penciptaan-Nya.
Konsep kesenian menurut perspektif Islam ialah membimbing manusia ke arah konsep tauhid dan pengabadian diri kepada Allah s.w.t. Seni dibentuk untuk melahirkan manusia yang benar-benar baik dan beradab. Motif seni bermatlamatkan kebaikan dan berakhlak. Selain itu, seni juga seharusnya lahir sebagai satu proses pendidikan yang bersifat positif dan tidak lari daripada batas-batas syariat.
Pandangan sesetengah orang bahawa kesenian tidak sesuai dengan tuntutan Islam dan syariat perlu ditinggalkan. Ini mencerminkan bahawa mereka tidak memahami hubungan kesenian dengan Islam. Ini kerana Islam bukanlah agama yang membicarakan soal agama sahaja, malahan turut membicarakan seluruh aspek kehidupan manusia. Sebagai contoh, hadis Nabi s.a.w yang bermaksud:
“Sesungguhnya Allah itu Maha Indah dan Dia sukakan keindahan.”
Ini menjelaskan kepada kita bahawa keindahan adalah sesuatu yang amat dituntut dalam Islam. Keindahan adalah suatu kesedaran dan kebenaran dalam penciptaan. Allah s.w.t menyuruh hamba-Nya menikmati segala yang baik-baik dalam kehidupan di dunia. Seseorang itu menghalang perjalanan dan naluri semulajadi manusia yang diberi Allah s.w.t jika ia tidak mempunyai kesedaran terhadap keindahan. Sifat kemanusiaan menjadi kurang jika tidak mempunyai kepekaan mengenai seni.
Bahkan, kesenian unggul dalam Islam sendiri terpancar pada Ummul Kitab (al-Quran) yang diturunkan sebagai panduan dan pedoman untuk semua umat manusia. Naskhah lengkap panduan hidup umat Islam merupakan seni yang tidak dapat ditangkis oleh mana-mana kesenian kerana ketinggian nilai budi, saranan akhlak, juga peraturan hidup manusia.
Sayyid Hossein Nasr dalam bukunya Spritual dan Seni Islam, berpendapat bahawa dalam apa juga bidang, seni Islam itu mestilah mempunyai fungsi spiritual yang dapat membimbing manusia agar mengingati Allah s.w.t. Beliau menegaskan: “Seni itu tidak dapat memainkan suatu fungsi spiritual apabila ia tidak dihubungkan dengan bentuk dan kandungan wahyu Islam.”
Beliau juga menghuraikan bahawa Islam terdiri daripada beberapa aspek, antara lain ialah syariah, tarekat, dan hakikat. Hossein Nasr berpandangan syariat memainkan peranan penting dalam memberi latar dan persekitaran kepada seni Islam di samping menyediakan batas-batas tertentu atau garis untuk seni Islam itu. Selain itu, beliau turut menjelaskan bahawa syariat sememangnya tidak menunjuk secara khusus bagaimana mencipta seni Islam itu. Namun, segala apa yang dihasilkan itu mestilah bertunjangkan al-Quran dan hadis serta sunnah Rasulullah s.a.w. Dengan ini, barulah seni itu dapat memainkan fungsinya sebagai penyubur spiritual.
Kesenian Islam merupakan kesenian mukadas. Ia harus memiliki kekudusan mauduk. Kekudusan mauduk bermaksud kebenaran kerohanian yang dapat mempertemukan manusia dengan kehadiran alam semesta di mana tujuan estetika tidak terlintas di dalam fikiran penciptanya. Tetapi ia indah kerana kebenaran kerohanian yang dipancarkan.
Kebenaran yang terkandung dalam ajaran wahyu dengan sendirinya terdapat pada kesenianmukadas. Islam mengutamakan ajaran tauhid yang asli kerana itu ia menghindar daripada sebarang pencemaran syirik, maka penggunaan mitos serta lambang-lambang tertentu yang memesongkan inti tauhid adalah dilarang. Di dalam kesenian mukadas, bukan saja perutusan atau isinya sahaja yang mesti suci, bentuk atau salurannya juga mesti suci. Matlamat tidak menghalalkan cara.
Kesenian Islam tidak bermotifkan hiburan semata-mata, malah ia menjurus ke arah mentarbiah masyarakat menjadi insan yang beriman, berakhlak, berilmu, dan beramal soleh. Oleh itu, sesuatu itu bukanlah dianggap seni sekiranya ia tidak dapat menjalankan fungsinya untuk membimbing manusia ke arah yang lebih baik dan mengingati Allah s.w.t. Seni timbul hasil daripada fitrah manusia yang sukakan keindahan. Oleh itu, keindahan menjadi ciri utama kesenian dari perspektif Islam. Konsep keindahan bererti rasa yang menggembirakan, menyenangkan, memuaskan, dan dihargai tanpa melangkah batas-batas syariat Islamiah.
Apabila memperkatakan konsep seni pada perspektif Islam, kita tidak lari daripada membicarakan soal perkaitan di antara seni dengan akhlak. Seni dan akhlak adalah saling bersangkutan. Islam mahukan setiap seni yang dicipta itu mengandungi nilai-nilai mulia dan akhlak yang membentuk keperibadian positif manusia. Seni yang tidak bermoral harus ditegah kerana kesenian Islam hanya berpaksikan kepada nilai-nilai akidah, syariat, dan akhlak. Oleh itu, karya seni Islam haruslah memiliki nilai-nilai murni yang melambangkan akhlak atau berbentuk neutral, bebas daripada nilai-nilai negatif.
Kesenian Islam juga haruslah bersumberkan wahyu Allah s.w.t dan juga sunnah Rasulullah s.a.w. Ini kerana setiap sesuatu yang bersumberkan kepada wahyu dan sunnah, maka ia akan bersesuaian dengan masa, tempat, dan zaman. Ini bermakna, meskipun seni itu turut berkembang mengikut perubahan zaman, namun asas utama penciptaannya mestilah berpandukan garis panduan yang telah disediakan.
Kesenian Islam dapat memberi sumbangan kepada kesatuan hidup ummah. Kesatuan ini terbentuk dalam pekerjaan sehari-harian, ketika berehat, dan ketika berhibur. Di dalam al-Quran, setiap perkataan merupakan satu unit yang terpenting bagi mendukung susunan dan makna ayat. Keadaan ini sama halnya dengan seseorang individu Islam yang menjadi unit dalam kesatuan ummah.
Jelasnya, hubungan antara yang indah dengan yang baik bermakna hubungan antara agama, etika, dan seni. Fungsi perhiasan adalah untuk keindahan, manakala keindahan ialah akar kesenian Islam. Jadi, terdapat hubungan yang erat antara seni, etika, dan estetika. Dengan kata lain, agama melahirkan seni, manakala seni pula mestilah mempunyai etika yang mengikut garis panduan agama.
Categories:
Agama islam,
Islam,
kaitan seni dalam islam,
Kesenian Mukadas,
seni khat,
Wahyu islam